Wednesday, 20 July 2016

Arahan pemasangan alat pengehad laju langkah tidak adil - Pengusaha bas

Arahan pasang alat pengehad laju langkah tidak adil - Pengusaha bas
Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan satu peraturan pemasangan alat khas pengehad kelajuan pada semua bas ekspres akan dikuatkuasa secara berperingkat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengusaha bas ekspres rata-ratanya, tidak bersetuju dengan arahan pemasangan alat pengehad laju sebagai langkah mengatasi kekerapan kes kemalangan melibatkan bas ekspres.

Bagi Pengarah Syarikat Cosmic Express, Datuk Abu Hassan Awang berkata, langkah itu hanya akan menambahkan beban kos kepada syarikat dan tidak benar-benar memberi pengajaran kepada pemandu bas.

Kata beliau, setiap bas sememangnya diwajibkan memasang Sistem Kedudukan Global (GPS) yang mana ia menelan belanja RM1,600 dan kos penyelenggaraan pula sebanyak RM110 sebulan bagi sebuah bas.

Ia lebih membebankan memandangkan tiada kenaikan tambang bas dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami pengusaha bas sendiri sudah belanja banyak seperti GPS berharga RM1,600 bagi kos pemasangan dan RM110 bagi kos penyelenggaraan ke atas sesebuah bas, di Cosmic sahaja ada 59 buah bas, bayangkan sebulan kami bayar RM5,900 ditambah dengan kos-kos lain seperti insurans dan sebagainya.

"Jika terjadi sesuatu kes, syarikat pengusaha yang terbeban sedangkan kenaikan tambang bas tidak diberi sudah lebih beberapa tahun, ini sesuatu yang tidak adil bagi kami,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah lebih baik penguatkuasaan lebih tegas dikenakan ke atas pemandu bas bagi mengurangkan kes kemalangan, bukannya terus menghukum pengusaha sepertinya.

Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu agar lebih beringat pada masa hadapan.

“Sudah banyak kali terjadi, jika salah yang dilakukan oleh seseorang pemandu, syarikat bas yang akan kena padahnya. Selalunya syarikat diarahkan tutup sementara kerana keselahan yang dilakukan oleh seorang pemandu, ia sekali gus memberi kesan kepada mata pencarian syarikat itu keseluruhannya.

"Saya cadangkan agar penguatkuasaan yang lebih tegas dilakukan seperti naikkan kadar saman ke atas pemandu bas itu sendiri, jika dahulu saman RM300 kini naikkan kepada RM500,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Laimemaklumkan satu peraturan pemasangan alat khas pengehad kelajuan pada semua bas ekspres akan dikuatkuasa secara berperingkat.

Kata beliau, untuk peringkat awal semua bas baru wajib dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

Peraturan itu akan dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu melebihi had laju mengakibatkan kemalangan maut.

Bas ekspres wajib pasang alat pengehad kelajuan

Bas ekspres diwajib pasang alat pengehad had laju serta-merta
Peraturan pemasangan alat pengehad kelajuan pada bas ekspres akan dikuatkuasakan serta merta, tetapi secara berperingkat-peringkat. - Gambar hiasan
BENTONG: Semua bas ekspres di negara ini diwajibkan memasang alat khas pengehad kelajuan dalam usaha kerajaan untuk mengatasi kekerapan kes kemalangan yang melibatkan kenderaan awam di musim perayaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata peraturan itu akan dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat-peringkat.

Untuk peringkat awal semua bas baharu perlu dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

"Saya telah memberi arahan kepada semua termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom (Puspakom Sdn Bhd) supaya semua bas baharu perlu memasang alat pengehad laju ini dan tidak boleh lagi dikecualikan.

"Ia akan dilaksanakan serta merta dan kita minta semua bas ekspres apabila tiba masa pemeriksaan Puspakom, mereka perlu memasang alat ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Maju Bentong di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bentong Datuk Azhar Arshad.

Menurutnya, peraturan itu dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan di semua jalan-jalan utama di negara ini mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan banyak nyawa.

Dalam kemalangan terbaru Ahad lalu, 10 buah kenderaan dirempuh oleh sebuah bas ekspres di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara Selatan selepas kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek semasa menuruni laluan berbukit.

Bagaimanapun kesemua penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Liow berkata, pemasangan alat berkenaan tidak akan mengurangkan keupayaan bas untuk mendaki dan menuruni bukit, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengehad kelajuan kenderaan tersebut.
"Ini adalah kelebihan 'speed limiter' kita perkenalkan.

"Saya telah mengadakan dialog dengan operator lori dan bas. Mereka bersetuju menyokong usaha kerajaan untuk memasang 'speed limiter' ini," katanya.

Gambar 'roh' jadi viral, netizen bertelagah bentang pelbagai teori

Gambar 'roh' jadi viral, netizen bertelagah bentang pelbagai teori
Kemalangan itu berlaku pada jam 5.30 petang membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai hilang kawalan dan terbabas.Foto/Saul Vazquez
SEKEPING gambar yang dirakam selepas satu kemalangan jalan raya di Kentucky, Amerika Syarikat, menjadi viral di laman sosial gara-gara satu imej pelik yang kelihatan dalam gambar berkenaan.

Kemalangan itu berlaku pada jam 5.30 petang, 12 Julai, 2016, membabitkan sebuah motosikal yang dipercayai hilang kawalan dan terbabas.

Seorang pengguna Facebook dengan nama Saul Vazquez, merakam gambar itu ketika pasukan paramedik sedang menjalankan tugas menyelamatkan mangsa di tepi jalan.

Imej pelik berwarna putih itu dilihat dalam bentuk manusia, seolah-olah sedang berada di awang-awangan.

Ia sudah dikongsi lebih 12,000 kali semenjak dimuat naik Selasa lalu.


Justeru dalam kalangan netizen, ramai yang membuat tanggapan ia adalah 'roh' mangsa yang dilaporkan meninggal dunia.

Namun ramai juga yang tidak setuju dengan tanggapan itu, atas alasan mangsa, menurut banyak laporan portal berita, meninggal dunia di hospital.

Dalam masa yang sama, ada juga yang berpendapat ia hanya sekadar ilusi dan apa yang dilihat dalam gambar itu adalah sebahagian daripada imej pareidolia.

Pareidolia, dalam ilmu psikologi, merujuk kepada satu fenomena di mana terjadi satu ransangan dalam minda yang menyebabkan manusia mempercayai satu bentuk wujud, walaupun pada hakikatnya ia tiada.

Antara fenomena pareidolia adalah 'Face of Mars' atau Wajah Marikh, di mana ia kelihatan seperti wajah manusia dari jauh, namun apabila dilihat dari dekat ia hanyalah formasi batu-batuan di planet itu.