Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

Wednesday, 20 July 2016

Arahan pemasangan alat pengehad laju langkah tidak adil - Pengusaha bas

Arahan pasang alat pengehad laju langkah tidak adil - Pengusaha bas
Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan satu peraturan pemasangan alat khas pengehad kelajuan pada semua bas ekspres akan dikuatkuasa secara berperingkat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengusaha bas ekspres rata-ratanya, tidak bersetuju dengan arahan pemasangan alat pengehad laju sebagai langkah mengatasi kekerapan kes kemalangan melibatkan bas ekspres.

Bagi Pengarah Syarikat Cosmic Express, Datuk Abu Hassan Awang berkata, langkah itu hanya akan menambahkan beban kos kepada syarikat dan tidak benar-benar memberi pengajaran kepada pemandu bas.

Kata beliau, setiap bas sememangnya diwajibkan memasang Sistem Kedudukan Global (GPS) yang mana ia menelan belanja RM1,600 dan kos penyelenggaraan pula sebanyak RM110 sebulan bagi sebuah bas.

Ia lebih membebankan memandangkan tiada kenaikan tambang bas dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami pengusaha bas sendiri sudah belanja banyak seperti GPS berharga RM1,600 bagi kos pemasangan dan RM110 bagi kos penyelenggaraan ke atas sesebuah bas, di Cosmic sahaja ada 59 buah bas, bayangkan sebulan kami bayar RM5,900 ditambah dengan kos-kos lain seperti insurans dan sebagainya.

"Jika terjadi sesuatu kes, syarikat pengusaha yang terbeban sedangkan kenaikan tambang bas tidak diberi sudah lebih beberapa tahun, ini sesuatu yang tidak adil bagi kami,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata adalah lebih baik penguatkuasaan lebih tegas dikenakan ke atas pemandu bas bagi mengurangkan kes kemalangan, bukannya terus menghukum pengusaha sepertinya.

Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu agar lebih beringat pada masa hadapan.

“Sudah banyak kali terjadi, jika salah yang dilakukan oleh seseorang pemandu, syarikat bas yang akan kena padahnya. Selalunya syarikat diarahkan tutup sementara kerana keselahan yang dilakukan oleh seorang pemandu, ia sekali gus memberi kesan kepada mata pencarian syarikat itu keseluruhannya.

"Saya cadangkan agar penguatkuasaan yang lebih tegas dilakukan seperti naikkan kadar saman ke atas pemandu bas itu sendiri, jika dahulu saman RM300 kini naikkan kepada RM500,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Laimemaklumkan satu peraturan pemasangan alat khas pengehad kelajuan pada semua bas ekspres akan dikuatkuasa secara berperingkat.

Kata beliau, untuk peringkat awal semua bas baru wajib dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

Peraturan itu akan dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu melebihi had laju mengakibatkan kemalangan maut.

Bas ekspres wajib pasang alat pengehad kelajuan

Bas ekspres diwajib pasang alat pengehad had laju serta-merta
Peraturan pemasangan alat pengehad kelajuan pada bas ekspres akan dikuatkuasakan serta merta, tetapi secara berperingkat-peringkat. - Gambar hiasan
BENTONG: Semua bas ekspres di negara ini diwajibkan memasang alat khas pengehad kelajuan dalam usaha kerajaan untuk mengatasi kekerapan kes kemalangan yang melibatkan kenderaan awam di musim perayaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata peraturan itu akan dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat-peringkat.

Untuk peringkat awal semua bas baharu perlu dipasang dengan alat tersebut tanpa sebarang pengecualian.

"Saya telah memberi arahan kepada semua termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom (Puspakom Sdn Bhd) supaya semua bas baharu perlu memasang alat pengehad laju ini dan tidak boleh lagi dikecualikan.

"Ia akan dilaksanakan serta merta dan kita minta semua bas ekspres apabila tiba masa pemeriksaan Puspakom, mereka perlu memasang alat ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Maju Bentong di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bentong Datuk Azhar Arshad.

Menurutnya, peraturan itu dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan di semua jalan-jalan utama di negara ini mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan banyak nyawa.

Dalam kemalangan terbaru Ahad lalu, 10 buah kenderaan dirempuh oleh sebuah bas ekspres di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara Selatan selepas kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek semasa menuruni laluan berbukit.

Bagaimanapun kesemua penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Liow berkata, pemasangan alat berkenaan tidak akan mengurangkan keupayaan bas untuk mendaki dan menuruni bukit, sebaliknya hanya berfungsi untuk mengehad kelajuan kenderaan tersebut.
"Ini adalah kelebihan 'speed limiter' kita perkenalkan.

"Saya telah mengadakan dialog dengan operator lori dan bas. Mereka bersetuju menyokong usaha kerajaan untuk memasang 'speed limiter' ini," katanya.

Tuesday, 19 April 2016

Wanita Dicekup Berkhalwat Terkejut Suami Hadir Bersama Keluarga Sebagai Penjamin

MELAKA: Seorang wanita yang dicekup berkhalwat dengan lelaki lain terkejut selepas suaminya turut hadir untuk menjaminnya di pejabat Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), lapor Sinar Harian.

Wanita berkenaan yang berusia 23 tahun yang berasal daripada selatan tanah air itu telah ditahan oleh penguatkuasa Jaim bersama seorang lelaki yang merupakan penjawat awam di sebuah bilik hotel dalam Operasi Khas mencegah maksiat di sini, awal pagi semalam.

Menurut Ketua Pegawai Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pasangan ini telah ditahan kira-kira jam 2.45 pagi semalam dan pada mulanya lelaki berkenaan menyatakan dia hanya berseorangan di dalam bilik berkenaan.

“Bagaimanapun, selepas pasukan penguat kuasa yang diketuai Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat kuasaan Jaim, Zurul Iman Zakaria melakukan pemeriksaan mendapati seorang wanita dalam keadaan menyorok di bilik hotel berkenaan.

“Pada mulanya, lelaki itu menyatakan mereka sebagai suami isteri tetapi setelah disoal siasat lanjut akhirnya pasangan itu mengaku sebaliknya,"katanya.

Rahimin memberitahu, wanita tersebut terkejut selepas keluarganya yang datang sebagai penjamin membawa suaminya sekali bersama.

"Hasil siasatan kedua-dua mereka masih suami isteri, malah dikatakan suami berkenaan turut mengenali lelaki yang ditahan bersama isterinya,” katanya.

Dalam operasi yang bermula bermula jam 10.30 malam dan berakhir jam 2 pagi itu, tujuh lagi pasangan berusia 19 hingga 53 tahun ditahan.

Menurutnya, kesemua mereka ditahankan dalam pemeriksaan membabitkan 12 buah hotel di sekitar Bandaraya Melaka yang disertai seramai 20 orang anggota Penguat kuasa Jaim.

Katanya, kesemua ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.

"Sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,”katanya.

Monday, 18 April 2016

Pelajar Peluk Islam Dihadapan Dr. Zakir Naik di UTeM Melaka : "Saya Terima Hidayah Malam Ini"


Melaka, 17 Apr - Ceramah Dr. Zakir Naik di Melaka hari ini menyaksikan seorang pelajar UTeM mengucap dua kalimah syahadah di hadapan penceramah antarabangsa itu.

Senkiran Dharma, 24, melafazkan kalimah suci itu selepas menerima penerangan jelas mengenai persoalan mengenai Islam daripada Dr Zakir.


Pelajar jurusan Kejuruteraan Elektronik Komunikasi itu,  yang sebelum ini menganut agama Hindu berkata, tindakannya itu dilakukan secara rela hati tanpa paksaan sebarang pihak.

"Saya sudah mempelajari Islam sejak lebih tiga tahun lalu. Selepas menunggu lama akhirnya saya menerima hidayah untuk memeluk Islam malam ini," katanya sebagaimana lapor Harian Metro.


Sejurus mengucap dua kalimah syahadah, Senkiran menerima senaskah al-Quran daripada Zakir sambil diiringi laungan takbir.



Di Twitter, orang ramai mula mengucapkan syukur dengan berita gembira itu. Menerusi tweet video yang dimuat naik, kedengaran pelajar terbabit mengikuti Dr. Zakir Naik mengucap dua kalimah syahadah.




Lebih 20,000 hadir untuk mendengar syarahan disampaikan penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik, di Dewan Besar Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

Penceramah itu tiba di Dewan Besar UTeM bersama Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron pada jam 8.15 malam tadi, disambut hadirin terdiri daripada pelbagai kaum.

Dr. Zakir menyampaikan syarahannya bertajuk Islam-Masalah dan Penyelesaian Untuk Kemanusiaan